Jumaat, 2 April 2010

PERLEMBAGAAN PIBG



PERLEMBAGAAN DAN KAEDAH-KAEDAH PERSATUAN


PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU





KAEDAH A

Nama dan alamat

KAEDAH B

Maksud-maksud dan tujuan. Tujuan Persatuan.

1. Maksud persatuan ialah :

a) untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid di sekolah atau institusi pelajaran itu.

b) Untuk membantu dan menambah usaha sekolah atau institusi pelajaran pada memenuhi kehendak-kehendak dan keperluan-keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan-kegiatan mereka.

c) Untuk membolehkan ibu bapa dan guru-guru di sekolah atau institusi pelajaran itu bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pelajaran pada amnya, dan

d) Untuk memberi peluang kepada guru-guru dan ibu bapa di sekolah atau institusi pelajaran itu berunding antara satu dengan lain berkenaan dengan cara memperbaiki taraf pelajaran anak-anak mereka pada amnya.

2. Tujuan-tujuan persatuan ialah

a) untuk menentukan supaya murid-murid di sekolah atau institusi pelajaran itu memperolehi faedah maksimum daripada kemudahan-kemudahan pelajaran mereka.

b) Untuk menentukan supaya murid-murid di dalamnya mempunyai sumber-sumber yang perlu untuk membuat kerja-kerja sekolah mereka baik di rumah atau di sekolah atau institusi pelajaran itu, dan

c) Untuk mewujudkan alam sekeliling yang sebaik-baiknya bagi sekolah supaya membolehkan murid-murid mencapai perkembangan kerohanian, keakhlakan, otak dan jasmani.



KAEDAH C

Tempat diadakan mesyuarat.



KAEDAH D

1. Keanggotaan



Tiap-tiap ibu bapa dan guru guru adalah diiktiraf sebagai ahli persatuan ini.



2. Jawatan Kuasa

i) Satu Jawatan Kuasa mengandungi pegawai berikut hendaklah dilantik di mesyuarat agung tahunan :

a. Pengerusi

b. Timbalan Pengerusi

c. Setiausaha

d. Bendahari

e. Tujuh orang Ahli Jawatan Kuasa.

ii) Nama-nama untuk jawatan di atas hendaklah dicadangkan dan disokong dan pemilihan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam mesyuarat agung tahunan. Semua anggota AJK boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.

iii) Nama-nama kekosongan yang berlaku dalam Jawatan Kuasa hendaklah dipenuhi oleh Jawatan Kuasa dengan melantik seorang ahli biasa yang akan memegang jawatan hingga Mesyuarat Agung Tahunan yang kan datang.

3. Tugas-tugas Jawatan Kuasa

i) Tugas Jawatan Kuasa ialah mengelolakan dan mengatur kegiatan-kegiatan persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara yang menyentuh perjalanan persatuan dengan tidak terkeluar dari dasar umum yang ditetapkan oleh mesyuarat agung.

ii) Jawatan Kuasa hendaklah mesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 3 bulan dan 14 hari pengumuman hendaklah diberikan kepada ahli-ahli.

iii) Pengerusi dengan bersendirian, atau tidak kurang daripada tiga orang ahli Jawatan Kuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatan Kuasa pada bila-bila masa.

4. Tugas Jawatan Kuasa PIBG





i) Pengerusi hendaklah menjadi pengerusi semua mesyuarat agong dan semua mesyuarat jawatankuasa dan bertanggung jawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menanda tangani minit-minit mesyuarat apabila telah diluluskan. Dalam masa ketiadaannya Naib Pengerusi hendaklah memangku jawatannya.

ii) Setiausaha Kehormat hendaklah menjalankan urusan persatuan menurut perlembagaannya, dan melaksanakan arahan-arahan mesyuarat agung dan mesyuarat jawatan kuasa. Ia hendaklah menyimpan minit-minit semua mesyuarat, dan menguruskan semua hal mesyuarat, dan menyimpan semua buku-buku, surat-surat dan lain-lain rekod.Ia hendaklah menyediakan laporan unutk dibentangkan, kepada mesyuarat agung dan minit-minit yang berkenaan dengannya.

iii) Bendahari adalah bertanggung jawab berkenaan hal semua kewangan persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan, dan bertanggung jawab diatas kebetulannya. Ia hendaklah menyediakan penyata kira-kira bagi tiap-tiap tahun, kewangan sebelum satu haribulan Febuari dan serahkan untuk diodit.



KAEDAH E

Pendapatan

i) Persatuan hendaklah menubuhkan satu kumupulan wang ke dalam mana yang hendak dibayar semua derma atau sumbangan daripada mana-mana ahli terhadap tujuan-tujuan persatuan, dan kumpulan wang itu hendaklah diuruskan oleh persatuan secara telus.



KAEDAH F

Kuasa bagi membelanjakan wang persatuan

i) Kuasa untuk membelanjakan wang persatuan ialah Jawatan Kuasa Persatuan dengan syarat ianya digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan persatuan.

ii) Bendahari dibolehkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada $100.00 (Satu Ratus Ringgit Sahaja) pada sesuatu masa dan memasukkan semua wang yang lain ke dalam sebuah bank yang diluluskan oleh Jawatan Kuasa. Akaun bank itu HENDAKLAH di atas nama persatuan.

iii) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari Akaun Persatuan hendaklah di tanda tangani bersama oleh Bendahari, Pengerusi dan Setiausaha

iv) Tahun kewangan persatuan ialah 1hb. Januari hingga 31 hb. Disember.

v) Semua urusan keewangan hendaklah di lakukan secara telus. Urusan pembelian melebihi RM500.00 hendaklah mendapat kelulusan Majlis Jawatan Kuasa PIBG terlebih dahulu sebelum pesanan pembelian di keluarkan.

KAEDAH G

Penyimpan akaun-akaun pendapatan dan Perbelanjaan Persatuan.

i) Akaun persatuan hendaklah diaudit pada tiap-tiap tahun oleh dua orang yang tidak menjadi ahi Jawatan Kuasa dan mereka hendaklah dicalun oleh ahli-ahli persatuan dalam mesyuarat agung tahunan.

ii) Penyata kira-kira yang telah diaudit berserta salinan penyata akaun bank hendaklah dikemukakan untuk kelulusan mesyuarat agung tahunan yang berikutan.

iii) Satu salinan penyata kira-kira yang telah di odit dan diluluskan oleh mesyuarat agung tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar Sekolah, Negeri.



KAEDAH H

Koram

i) Koram bagi mesyuarat agung hendaklah tidak kurang daripada 24 orang ahli (Bilangannya mestilah tidak kurang daripada 3 kali jumlah bilangan ahli-ahli Jawatan Kuasa).

ii) Koram bagi mesyuarat Jawatan Kuasa hendaklah sebanyak 2/3 bilangan ahli-ahli Jawatan Kuasa.



KAEDAH I

Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Tergempar

i) Kuasa persatuan hendaklah terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli.

ii) Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah diadakan pada tiap-tiap tahun sebelum akhir bulan Mei.

iii) Suatu Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah diadakan :

a. Apabila difikirkan perlu oleh Jawatan Kuasa.

b. Atas permintaan bertulis oleh sekurang-kurangnya 24 orang ahli persatuan dan mesyuarat itu hendaklah diadakan dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan permintaan tersebut.

iv) sekurang-kurangnya 14 hari notis hendaklah diberikan secara bertulis untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan dan sekurang-kurangnya tujuh hari notis bertulis bagi mesyuarat agung tergempar.

v) Urusan mesyuarat agung tahunan ialah menerima laporan Jawatan Kuasa dan Penyata kira-kira yang telah diodit bagi tahun yang lalu, memilih pemegang-pemegang jawatan dan menimbangkan lain-lain perkara yang menyentuh kemajuan dan kebajikan persatuan.

vi) Urusan mesyuarat agung tergempar hendaklah dihadkan hanya kepada maksud mesyuarat itu diadakan.



KAEDAH J

Pindaan Perlembagaan Persatuan

i) Perlembagaan Persatuan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung tahunan. Perubahan-perubahan atau pindaan-pindaan kepada perlembagaan hanya berkuatkuasa mulai daripada tarikh perubahan-perubahan dan pindaan-pindaan itu dibenarkan oleh Pendaftar Sekolah, Negeri.



KAEDAH K

Harta dan Amanah

i) Persatuan adalah mempunyai kuasa untuk mempunyai, mengguna dan melupuskan apa-apa harta alih atau harta alih yang mana pada pendapatnya dikira kan memudahkan ia menjalankan kuasa-kuasa dan kewajipan-kewajipannya.

ii) Empat orang pemegang amanah hendaklah dilantik di mesyuarat agung tahunan dan mereka kan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh persatuan. Kepada mereka akan diamanahkan semua harta takalih kepunyaan persatuan dan mereka hendaklah menguruskan harta-harta itu mengikut cara yang diperintahkan oleh Jawatan Kuasa.

iii) Pemegang amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau meukar harta kepunyaan persatuan dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh mesyuarat agung ahli-ahli.

iv) Seseorang pemegang amanah boleh dilucutkan dari jawatannya oleh Jawatan Kuasa oleh sebab uzur kerana penyakit tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana lain sebab yang menyebabkan ia tidak boleh menjalankan tugasnya atau pekerjaannya tidak memuaskan. Jika berlaku kematian, letakkan jawatan atau pembuangan bagi seseorang pemegang amanah sebelum mesyuarat agung tahunan maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Jawatan Kuasa sehingga pemegang amanah yang baharu dilantik di dalam mesyuarat agung.

v) Pemegang amanah yang dilucutkan daripada jawatannya mengikut perlembagaan ini, berhak merayu kepada mesyuarat agung yang berkuasa memberi keputusan yang muktamat.



KAEDAH L

Larangan

i) Persatuan tidak boleh memperluaskan bidang kuasa kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan pekerjaan dan syarat-syarat perkhidmatan guru-guru dan kakitangan lain di sekolah

ii) Persatuan tidak boleh menjadi instrumen bagi menyelesaikan pertikaian atau perkara-perkara lain yang bersangkutan di antara persatuan dan Guru Besar / Pengetua atau kakitangan sekolah atau Jabatan Pelajaran atau Kementerian Pelajaran atau Kerajaan Negeri atau Persekutuan.



KAEDAH M

Taksiran

i) Sekiranya timbul sesuatu yang tidak jelas mengenai taksiran dalam perlembagaan ini, perkara itu hendaklah dirujukkan kepada mesyuarat Jawatan Kuasa. Keputusan Jawatan Kuasa mengenai perkara tersebut adalah muktamad.



KAEDAH N

Pembubaran

i) Persatuan ini tidak boleh dibubarkan melainkan dengan kelulusan bertulis daripada Pendaftar Sekolah, Negeri. Segala harta alih atau takalih tidak boleh dilupuskan melainkan dengan kelulusan Pendaftar Sekolah, Negeri.

AKTA PENDIDIKAN 1996






PERATURAN-PERATURAN PENDIDIKAN






(PERSATUAN IBU BAPA – GURU) 1998






[Sub peraturan 7(2)]






PERLEMBAGAAN PERSATUAN IBU BAPA-GURU (PIBG)




Tujuan-tujuan Persatuan



a) untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam Sekolah dalam meningkatkan imej Sekolah;



b) untuk membantu dan menambah usaha Sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan mereka;



c) untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam Sekolah bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan;



d) untuk memberi peluang kepada ibu bapa dan guru dalam sekolah berunding antara satu sama lain dengan cara memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka pada amnya; dan



e) untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam Sekolah untuk berusaha menambah kewangan Sekolah dan meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran



Fungsi Persatuan



Fungsi Persatuan ialah untuk menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai tujuan-tujuan persatuan yang dinyatakan di perenggan 3, seperti:



a) membantu dalam memajukan perkembangan murid dan menjaga kebajikan murid;



b) menambah sumber kewangan Sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di Sekolah;



c) meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara Sekolah dengan masyarakat setempat;



d) meningkatkan kecerian premis Sekolah supya dapat mewujudkan suasana yang kondusif bagi menjayakan aktiviti dan program pendidikan



Keanggotaan Persatuan



Anggota Persatuan terdiri daripada:



a) semua guru di Sekolah;



b) ibu bapa kepada murid yang belajar dalam Sekolah; dan



c) warganegara Malaysia yang diluluskan permohonan untuk menjadi anggota Persatuan oleh Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian atau Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan (seperti di Lampiran A); dan



Guru Besar atau Pengetua Sekolah hendaklah menjadi ex-officio dan Penasihat Persatuan.



Jawatankuasa Persatuan



Persatuan hendaklah diuruskan oleh suatu jawatankuasa yang dikenali sebagai "Jawatankuasa PIBG". Jawatankuasa PIBG hendaklah dilantik oleh anggota Persatuan pada setiap Mesyuarat Agung Tahunan.



Anggota Jawatankuasa PIBG hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia sahaja.



Keanggotaan Jawatankuasa PIBG adalah seperti berikut:



a) seorang Yang Di-Pertua;



b) seorang Naib Yang Di-Pertua;



c) seorang Setiausaha;



d) seorang Bendahari; dan



e) .......... orang Ahli Jawatankuasa



Bilangan ibu bapa dan guru yang menganggotai Jawatankuasa PIBG hendaklah, seboleh-bolehnya, seimbang.



Guru Besar atau Pengetua tidak boleh menganggotai Jawatankuasa PIBG dan hanya bertindak sebagai Penasihat Persatuan.



Bilangan Ahli Jawatankuasa PIBG di perenggan 9(e) hendaklah antara 1 hingga 11 orang.



Bilangan anggota Jawatankuasa PIBG di kalangan anggota Persatuan (bukan anggota guru di sekolah tersebut) yang tidak mempunyai anak di sekolah itu hendaklah tidak melebihi 1/5 daripada keseluruhan bilangan anggota Jawatankuasa PIBG berkenaan.



Tertakluk kepada perenggan 13 Perlembagaan ini dan subperaturan 6(4) hingga (6) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa - Guru) 1998, Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian (mengikut mana yang berkenaan) boleh melantik tidak lebih daripada 2 orang yang bukan anggota Persatuan untuk menjadi anggota Jawatankuasa PIBG setelah mendapat kelulusan bertulis Pendaftar.



Tempoh memegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG adalah bermula dari tarikh pelantikan sehingga tarikh Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun berikutnya atau sehingga suatu tempoh yang diluluskan oleh pendaftar.



Jika berlaku kekosongan jawatan dalam Jawatankuasa PIBG, Yang Di Pertua hendaklah melantik mana-mana anggota biasa Persatuan, berdasarkan undian terbanyak di kalangan anggota Jawatankuasa PIBG, untuk mengisi kekosongan jawatan itu.



Jawatankuasa PIBG hendaklah mengedarkan kepada anggota Persatuan senarai nama dan alamat pemegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG pada setiap tahun selewat-lewatnya 14 hari selepas tarikh Mesyuarat Agung Tahunan.



Fungsi Jawatankuasa PIBG



Fungsi Jawatankuasa PIBG ialah mengelola dan mengatur kegiatan Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara yang menyentuh perjalanan Persatuan, tanpa bercanggah dengan dasar umum yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan, Perlembagaan ini dan Akta Pendidikan 1996 serta peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.



a) Yang Di-Pertua



i) Menjadi Pengerusi dalam semua mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung Tahunan dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan mesyuarat.



ii) Mempunyai undi pemutus dan hendaklah menandatangani minit-minit mesyuarat apabila telah diluluskan.



iii) Bertanggungjawab mengawasi pentadbiran Persatuan serta memastikan bahawa peruntukan Perlembagaan dipatuhi oleh semua anggota Persatuan.



iv) Sentiasa mematuhi segala peruntukan Perlembagaan dalam menjalankan tugas sebagai Yang Di-Pertua.



v) Boleh memanggil mesyuarat Jawatankuasa PIBG pada bila-bila masa yang difikirkan perlu dengan persetujuan Guru Besar atau Pengetua.



vi) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan.



vii) Memastikan segala aktiviti dan program Persatuan dilaksanakan dengan sempurna dan teratur.



viii) Mendapatkan nasihat mengenai pengurusan Persatuan dari semasa ke semasa daripada Guru Besar atau Pengetua selaku Penasihat Persatuan.



b) Naib Yang Di-Pertua



i) Bertanggungjawab membantu Yang Di-Pertua dalam menjalankan fungsi-fungsi Yang Di-Pertua.



ii) Menjalankan tanggungjawab dan fungsi Yang Di-Pertua semasa ketiadaan Yang Di-Pertua .



c) Setiausaha



i) Menjalankan urusan Persatuan mengikut Perlembagaan Persatuan.



ii) Melaksanakan keputusan-keputusan Mesyuarat Agung Tahunan dan mesyuarat Jawatankuasa PIBG.



iii) Mencatat, menyedia dan menyimpan minit-minit mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung Tahunan.



iv) Menyediakan laporan-laporan untuk dibentangkan kepada Mesyuarat Agung Tahunan serta minit-minit yang bersangkutan dengannya.



v) Menghantar segala laporan dan aktiviti Persatuan dan minit Mesyuarat Agung Tahunan kepada Pendaftar atau Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, selepas Mesyuarat Agung Tahunan.



vi) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan, jika perlu.



d) Bendahari



i) Bertanggungjawab mengurus dan mengawal hal ehwal kewangan Persatuan dengan menyediakan dan menyimpan kira- kira kewangan yang kemas kini. Penyata kira-kira kewangan (1 Januari hingga 31 Disember) hendaklah disiapkan sebelum 1 Februari tahun berikutnya untuk diaudit. Penyata kira-kira yang telah diaudit hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan. Satu salinan penyata yang telah diaudit dan diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar selepas Mesyuarat berkenaan.



ii) Menguruskan perbelanjaan wang Persatuan seperti yang diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan atau mesyuarat Jawatankuasa PIBG.



iii) Menyimpan wang tunai tidak melebihi sesuatu jumlah yang ditetapkan dalam Perlembagaan pada sesuatu masa.



iv) Menerima bagi pihak Persatuan semua derma atau sumbangan daripada mana-mana anggota atau lain-lain sumber dan mengeluarkan resit akaun terima dan kreditkan ke dalam akaun Persatuan pada hari yang sama.



v) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan.



vi) Memastikan tiada berlaku terlebih pengeluaran wang dari akaun Persatuan dan akaun sentiasa berbaki kredit.



Lain-lain jawatan



Penasihat Persatuan



a) Guru Besar atau Pengetua Sekolah adalah anggota ex-officio Persatuan dan bertindak sebagai penasihat kepada Jawatankuasa PIBG dan Persatuan.

Antara tanggungjawab dan fungsi Guru Besar atau Pengetua adalah seperti berikut;



i) menghadiri mesyuarat Jawatankuasa PIBG, Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Tergempar, tetapi tidak boleh mengundi;



ii) mewakili pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengawal dan menasihati Persatuan supaya segala aktiviti, kegiatan dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat-mesyuarat Persatuan tidak bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan, dasar-dasar negara dan dasar-dasar mengenai pelajaran dan pendidikan serta hal-hal berkaitan dengan pentadbiran sekolah;



iii) berhak untuk menghenti dan menangguhkan mesyuarat Persatuan jika difikirkan wajar untuk kepentingan anggota Persatuan;



iv) meluluskan semua agenda mesyuarat dan perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Persatuan;



v) memberi penjelasan kepada sesuatu isu mengenai pengurusan dan perjalanan Sekolah dan akademik serta isu-isu yang berkaitan dengannya dalam mesyuarat persatuan;



vi) memastikan kegiatan persatuan selaras dengan tujuan dan fungsi Persatuan;



vii) memastikan sumbangan Persatuan yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan tidak membebankan dan tidak mengandungi sebarang unsur paksaan; dan



viii) menentukan tetamu kehormat dan para jemputan yang menghadiri majlis anjuran Persatuan dilayan mengikut peraturan dan protokol yang ditetapkan oleh Kementerian.



b) Juru Audit Dalaman



i) Persatuan hendaklah melantik 2 orang juru audit dalaman dari kalangan anggota Persatuan yang tidak menjadi anggota Jawatankuasa PIBG pada mesyuarat Agung Tahunan.



ii) Tanggungjawab juru audit dalaman adalah seperti berikut:



aa) mengaudit akaun Persatuan pada setiap akhir tahun kewangan; dan



ab) menjalankan pengauditan secara berkala seperti mana yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.



Kuorum



Kuorum mesyuarat yang diadakan oleh Persatuan adalah seperti berikut:



a) Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah tidak kurang daripada 3 kali jumlah bilangan anggota Jawatankuasa PIBG; dan



b) Mesyuarat Jawatankuasa PIBG - hendaklah tidak kurang 2/3 daripada jumlah bilangan anggota Jawatankuasa PIBG.



Mesyuarat Agung Tahunan



Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah pada setiap tahun sebelum akhir bulan Mac.



Jika Mesyuarat Agung Tahunan tidak diadakan sebelum akhir bulan Mac, Jawatankuasa PIBG hendaklah mengemukakan alasan dan tarikh yang dicadangkan kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, sebelum 31 Mac.



Notis tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan hendaklah diberikan kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya 14 hari sebelum tarikh Mesyuarat.



Sekiranya kuorum untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan tidak mencukupi dalam tempoh 1 jam dari masa yang ditetapkan, Mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan Jawatankuasa PIBG hendaklah mengeluarkan notis bertulis kepada anggota Persatuan memaklumkan tarikh baru Mesyuarat Agung Tahunan dalam masa 30 hari dari tarikh asal tersebut.



Agenda Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut;



a) ucapan Pengerusi;



b) membentang dan menerima Minit Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu;



c) membentang dan menerima Laporan Tahunan;



d) membentang, menerima dan meluluskan Penyata Kewangan berakhir 31 Disember tahun sebelumnya;



e) membahaskan usul, jika ada;



f) pemilihan Jawatankuasa PIBG bagi tahun berkenaan;



g) pemilihan Juru Audit Dalaman;



h) ucapan penangguhan; dan



i) lain-lain hal.



Apa-apa usul bertulis hendaklah disampaikan kepada Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan. Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk menapis usul-usul yang dikemukakan sebelum diluluskan untuk perbincangan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.



Mesyuarat Agung Tahunan bertanggungjawab memilih pemegang-pemegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG serta menimbang lain-lain perkara yang menyentuh kemajuan dan kebajikan Persatuan. Pemilihan pemegang jawatan hendaklah dibuat seperti berikut:



a) anggota yang dicalonkan untuk memegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG hendaklah hadir dalam Mesyuarat;



b) setiap pencalonan hendaklah mempunyai pencadang dan penyokong; dan



c) pemilihan hendaklah dijalankan secara undian bagi jawatan yang ditandingi. Calon yang mendapat undi terbanyak dipilih menjawat jawatan yang dipertandingkan.



Mesyuarat Agung Tergempar



Mesyuarat Agung Tergempar boleh diadakan dalam keadaan-keadaan berikut:



a) apabila difikirkan perlu oleh Jawatankuasa PIBG;



b) atas permintaan bertulis sekurang-kurangnya 1/5 daripada jumlah anggota Persatuan; atau



c) atas arahan Pendaftar.



Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah diadakan dalam tempoh 21 hari daripada tarikh keputusan Jawatankuasa PIBG atau tarikh penerimaan permintaan anggota Persatuan atau tarikh arahan Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan. Notis bertulis mengenai Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dikemukakan kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya 7 hari dari tarikh Mesyuarat hendak diadakan.



Urusan Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dihadkan kepada tujuan Mesyuarat itu diadakan.



Laporan Mesyuarat



Laporan Mesyuarat Agung Tahunan bersama-sama Penyata Kira-kira Kewangan Persatuan hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah atau Pegawai Pejabat Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh Mesyuarat.



Laporan Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pejabat Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh Mesyuarat.



Mesyuarat Jawatankuasa PIBG



Jawatankuasa PIBG hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya 3 kali dalam tempoh satu tahun persekolahan.



Notis panggilan mesyuarat hendaklah diberikan kepada anggota Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh Mesyuarat.



Yang Di-Pertua, atau sekurang-kurangnya 3 orang anggota Jawatankuasa PIBG, boleh memanggil mesyuarat Jawatankuasa PIBG apabila difikirkan perlu dengan persetujuan Penasihat.



Setiap anggota Jawatankuasa PIBG yang tidak hadir mesyuarat sebanyak 2 kali tanpa sebab hendaklah digugurkan keanggotaan dalam jawatankuasa PIBG secara automatik dan Yang Di-Pertua hendaklah mengemukakan notis bertulis kepada anggota berkenaan sebaik sahaja keputusan itu dibuat.



Punca-Punca Pendapatan Persatuan



Punca-punca pendapatan Persatuan adalah terdiri daripada;



a) sumbangan anggota Persatuan (anggota Persatuan tidak boleh dipaksa memberi apa-apa sumbangan);



b) derma dan sumbangan daripada individu, organisasi dan badan-badan lain;



c) pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti dan program unjuran Persatuan yang telah mendapat kelulusan Pendaftar



Jawatankuasa hendaklah membuka satu akaun di mana-mana bank tempatan yang berdaftar atas nama Persatuan.



Apa-apa wang yang diterima atau diperolehi oleh Persatuan hendaklah dikreditkan ke dalam akaun Persatuan pada hari wang diterima atau diperolehi. Walau apa pun peruntukan ini, Bendahari boleh menyimpan wang tunai yang tidak melebihi ........................ pada satu-satu masa.



Perbelanjaan wang Persatuan



Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk membelanjakan wang Persatuan bagi perkara-perkara yang mendatangkan faedah kepada murid-murid Sekolah yang tidak bercanggah dengan tujuan-tujuan Persatuan.



Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada akaun Persatuan hendaklah ditandatangan oleh Bendahari dan Yang Di-Pertua atau Setiausaha, semasa ketiadaan Yang Di-Pertua.



Bendahari dan Yang Di-Pertua hendaklah memastikan tiada berlaku terlebih pengeluaran wang dan akaun Persatuan sentiasa berbaki kredit.



Tahun kewangan Persatuan bermula pada 1 Januari hingga 31 Disember tahun semasa.



Penyimpanan akaun pendapatan dan perbelanjaan



Penyata Kira-kira Kewangan Persatuan yang telah diaudit hendaklah dibentangkan untuk diterima dan diluluskan oleh anggota Persatuan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.



Satu salinan Penyata Kira-kira Kewangan yang telah diaudit serta diterima dan diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian mengikut mana-mana yang berkenaan.



Pendaftar, Pegawai Pendidikan Daerah, Pegawai Pendidikan Bahagian, Pengetua atau Guru Besar adalah dibenarkan memeriksa akaun Persatuan pada bila-bila masa.



Harta Amanah Persatuan



Persatuan tidak boleh memegang apa-apa harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, atas namanya sendiri. Apa-apa harta yang, sebelum dari tarikh Perlembagaan ini berkuat kuasa, diletakkan atas nama Persatuan hendaklah dialihkan kepada Kerajaan Malaysia, yang diwakili oleh Sekolah, sebagai harta yang diamanahkan oleh Persatuan untuk digunakan bagi faedah murid-murid Sekolah itu sahaja atau sebagaimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa PIBG dari masa ke semasa.



Apa-apa harta yang diamanahkan kepada Sekolah tidak boleh dipindah milik atau dilupuskan dengan apa cara sekali pun, melainkan dengan persetujuan anggota Persatuan yang diperolehi dalam Mesyuarat Agung Tahunan.



Pindaan Perlembagaan Persatuan



Apa-apa cadangan untuk meminda Perlembagaan Persatuan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, untuk kelulusan terlebih dahulu.



Cadangan pindaan yang hendak dikemukakan kepada Pendaftar hendaklah dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan dipersetujui oleh sekurang-kurangnya 2/3 daripada anggota Persatuan yang hadir.



Pindaan kepada Perlembagaan hanya berkuat kuasa mulai daripada pindaan diluluskan oleh Pendaftar.



Pendaftar berhak meluluskan atau tidak sebarang pindaan yang dicadangkan oleh Persatuan.



Larangan



Persatuan tidak boleh memperluaskan bidang kuasanya untuk merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan sekolah, guru, kakitangan dan pekerja Sekolah dan syarat-syarat perkhidmatan guru dan kakitangan Sekolah.



Persatuan bukanlah suatu entiti undang-undang dan tidak mempunyai keupayaan juridikal untuk membuat kontrak, perjanjian atau memorandum persefahaman, atas namanya sendiri. Apa-apa program dan aktiviti yang hendak dibuat oleh Persatuan yang memerlukan apa-apa suratcara yang mengikat dari segi undang-undang hendaklah dirujuk kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, untuk kelulusan dan panduan.



Persatuan tidak boleh menjadi forum atau jentera bagi menyelesaikan sebarang pertikaian antara Persatuan dengan Guru Besar atau Pengetua, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Bahagian, Jabatan Pendidikan Negeri, Kementerian Pendidikan, Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.



Persatuan tidak boleh bergabung dengan persatuan ibu bapa-guru di sekolah- sekolah lain, parti politik, kesatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan atau lain-lain organisasi, pertubuhan atau persatuan, sama ada yang ditubuhkan atau berdaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis atau tidak.



Tafsiran



Sebarang kekeliruan atau pertikaian yang timbul daripada Perlembagaan ini hendaklah dirujuk kepada Pendaftar melalui Guru Besar atau Pengetua.



Pembubaran



Persatuan hanya boleh dibubarkan dalam keadaan berikut:



a) atas arahan bertulis daripada Pendaftar; atau

b) Sekolah berhenti beroperasi



Apa-apa wang dalam akaun Persatuan hendaklah digunakan sebagaimana yang ditetapkan oleh Pendaftar dan kegunaannya hendaklah bagi memanfaatkan pendidikan kanak-kanak di kawasan di mana Sekolah itu berada. Apa-apa harta alih dan tak alih yang telah diamanahkan kepada Sekolah hendaklah dilupuskan mengikut cara yang ditetapkan oleh Pendaftar.



Guru Besar atau Pengetua hendaklah memulangkan Sijil Pendaftaran Persatuan kepada Pendaftar apabila Persatuan dibubarkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan